Simpanan atau Pelaburan – Mana Yang Lebih Penting?

Dalam kita ghairah untuk melabur dan menggandakan duit, kadang-kadang kita lupa perkara asas dalam pengurusan wang iaitu simpanan. 

Sebelum melabur, digalakkan untuk menyimpan terlebih dahulu dengan amaun sekurang-kurangnya enam bulan pendapatan dan wang tersebut sepatutnya tidak digunakan untuk pelaburan. Simpanan dan pelaburan perlu diasingkan supaya matlamat utama simpanan tersebut diwujudkan boleh tercapai. 

Kenapa perlu simpanan sampai enam bulan?

Sebab utama adalah untuk kegunaan semasa kecemasan. Dalam keadaan ekonomi yang tak menentu ini, simpanan yang cukup sangatlah penting. Kalau kehilangan pekerjaan, simpanan inilah yang akan membantu untuk meneruskan kehidupan sebelum pekerjaan baru dapat dicari. 

Anda perlukan duit untuk buat duit. Benda ni bukan sahaja terpakai untuk melakukan perniagaan, tetapi kalau difikirkan balik dengan mendalam, sebenarnya ia terpakai dalam semua aspek kehidupan sekarang. 

Nak keluar rumah sekurang-kurangnya ada amaun minimum untuk yang perlu dibelanjakan sebelum kita pulang semua ke rumah. Kalau sekiranya dalam keadaan kehilangan pekerjaan dan tiada simpanan, susah sangat untuk seseorang itu nak buat apa-apa.

Bagi yang dah berkeluarga, galakkan anak-anak menyimpan dari kecil. Satu cara mudah untuk mengajar anak menyimpan adalah dengan menyediakan tabung untuk mereka. Tiap-tiap hari kalau ada wang kecil, saya akan bagi pada anak saya untuk dia simpan dalam tabung tersebut. Lama-lama akan jadi kebiasaan.

Sebagai ibu bapa, saya asingkan simpanan untuk anak yang biasanya terdiri daripada duit raya ke dalam akaun lain. Duit yang anak dapat tu janganlah habis digunakan untuk membeli permainan atau dibuat belanja. 

Kat mana nak simpan? Mana-mana bank pun boleh. Yang penting, pastikan produk simpanan itu dilindungi. Untuk maklumat anda, simpanan di bank-bank komersial dan bank-bank Islam dilindungi oleh PIDM sehingga RM250,000. Produk yang dilindungi PIDM antaranya adalah akaun simpanan, akaun semasa dan akaun simpanan tetap. Jom dapatkan maklumat lanjut di laman web PIDM di www.pidm.gov.my.

Duit bukan senang nak dicari. Sambil menyimpan, kita perlu pastikan keselamatan simpanan demi kegunaan masa hadapan kita. Ini adalah nasihat kewangan terbaik untuk semua.

One Comment

Leave a Reply