Pengalaman Kerja MNC

Baru sahaja menamatkan kontrak setahun kerja dengan sebuah syarikat multinational (MNC) yang berpengkalan di US. Syarikat yang sudah bertapak lebih daripada 100 tahun ini mempunyai pelbagai cabang perniagaan dan saya berkhidmat dalam cabang aviation.

Dalam jawatan ini, saya ditugaskan untuk mengurus perkhidmatan penyelenggaraan enjin pesawat yang dimiliki oleh syarikat penerbangan dan syarikat pemberi pajak kapal terbang. Secara asasnya, kerja saya umpama penasihat servis kenderaan di pusat servis di mana saya akan menguruskan pelanggan tersebut dari awal enjin kapal terbang di buka sehinggalah ia siap diselenggara yang biasanya mengambil masa selama dua bulan untuk setiap enjin. Saya perlu memastikan kontrak pelanggan dengan syarikat dan skop kerja yang telah dipersetujui dipenuhi dan mencari penyelesaian untuk apa-apa kesulitan yang timbul semasa atau selepas enjin diselenggara.

Sepanjang perkhidmatan, saya telah menguruskan beberapa pelanggan syarikat penerbangan yang berpangkalan di Malaysia, Timur Tengah, Turki & Ireland dan tiga syarikat pemberi pajak dari Singapura, US & Ireland. Untuk menguruskan pelbagai pelanggan dari negara-negara lain, memang tak bolehlah nak harap waktu kerja biasa 8 pagi – 5 petang dan ini adalah kebiasaan sebenarnya kalau nak bekerja dalam MNC.

Situasi yang paling saya tak boleh lupa ialah sehari sebelum cuti tahun baru 2020. Ada masalah pada dokumen enjin yang telah diserahkan lama dulu dan perlu diselesaikan secepat mungkin dan aduan ini pula entah macam mana datang melalui boss besar. Maka petang itu jugaklah saya duduk dengan boss besar untuk call ketua jabatan lain supaya dapat kerjasama daripada jabatan mereka untuk bantu selesaikan masalah ini. Urgent punya pasal, kerja yang biasanya makan masa 2-3 hari untuk cari penyelesaikan dan koordinasi dapat disiapkan dalam masa enam jam. Dalam sebuah organisasi besar macam ni, memahami escalation route adalah sesuatu yang sangat penting kalau nak siapkan perkara yang urgent.

Satu lagi yang saya belajar ialah dalam setiap cabaran yang datang, bukan semua sebenarnya kita perlu selesaikan sendiri. Kena pandai gunakan orang lain/jabatan lain yang berkaitan untuk cari penyelesaian. Kadang-kadang tak perlu buat apa sangat dan hanya sekadar uruskan koordinasi antara individu berbeza supaya isu yang dihadapi dapat diselesaikan.

Dalam menguruskan pelanggan, one golden rule untuk berjaya adalah sentiasa bersikap proaktif sepanjang memberikan perkhidmatan kepada pelanggan. Tak kisahlah ada masalah atau tiada, komunikasi dengan pelanggan perlulah berterusan sehingga tamat kontrak perkhidmatan dan tak tunggu sehingga mereka bertanyakan tentang kemaskini. Sikap proaktif mampu mengubah persepsi pelanggan terhadap organisasi dan diri kita sendiri sebab mereka nampak kita ada inisiatif untuk memberikan perkhidmatan kepada mereka.

Cuma di peringkat organisasi besar, jarang nak dapat pelanggan yang 100% gembira sebab perkara yang membuatkan mereka tak gembira inilah yang akan digunakan dalam rundingan semasa pembaharuan kontrak nanti. Jadi janganlah terkejut kalau anda kerja dalam organisasi besar dan terpaksa berhadapan dengan kerenah pelanggan yang kadang-kadang luar biasa. Kena kental jiwa dan raga.

Malangnya kontrak saya tak diteruskan. Covid-19 punya pasal, syarikat penerbangan seluruh dunia terpaksa menangguhkan operasi sehingga isu ini reda dan ini termasuklah menerima pembelian kapal terbang baru atau menghantar enjin untuk diselenggara.

Pengalaman saya di sini amat positif kerana ia banyak memaksa saya untuk keluar dari zon selesa dan mencabar keupayaan diri saya dalam bekerja. Walaupun setahun, banyak yang saya dapat pelajari. Bagi yang dah lama bekerja, mesti setuju kalau saya cakap kepuasan bekerja tu tak datang dalam bentuk gaji yang banyak semata-mata.

Ireland hujung Feb 2020 sebelum Covid19 global shutdown. Jumpa customer airline untuk meeting tahunan.

Agak cemburu dengan mereka yang dapat mula bekerja dalam syarikat MNC seperti ini sebagai pekerjaan pertama mereka selepas universiti. Semoga pengalaman saya di sini dapat menjadi batu loncatan untuk saya dalam pengembaraan saya yang seterusnya.

One Comment