AirAsia vs Malindo Air

Baru pulang dari Indonesia dan ini merupakan kali pertama saya naik Malindo Air. Secara keseluruhannya, amat berpuas hati dengan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Malindo Air.

Mungkin Malindo kurang popular kerana kurang marketing dan memang tak dapat nak lawan kekuatan jenama AirAsia tapi dari segi perkhidmatan airline ni saya rasa mereka lebih bagus berbanding AirAsia. Dalam entri ni, saya senaraikan beberapa kelebihan yang ada pada Malindo Air berbanding AirAsia.

1. Terbang Dari KLIA

KLIA2 adalah sebuah lapangan terbang yang bermasalah dengan reka bentuk yang tak bagus. Dengan ruang menunggu sempit yang tak mampu menampung semua penumpang untuk satu penerbangan sehinggalah kepada kekurangan kakitangan & kaunter yang dibuka untuk pemeriksaan keselamatan, lapangan terbang ni adalah satu kegagalan walaupun ia adalah sebuah lapangan terbang baru.

Kalau berlepas dari KLIA, ruang menunggu mencukupi dengan tempat duduk yang selesa, lapang serta pencahayaan yang cukup di ruang menunggu. Pemeriksaan keselamatan diletakkan di setiap gate berbanding di KLIA2 di mana pemeriksaan keselamatan dilakukan di laluan utama sebelum anda sampai ke gate. Jadi anda terpaksa beratur panjang bersama-sama dengan penumpang penerbangan lain sebelum sampai ke gate.

Lebih menyakitkan hati, bayaran PSC yang sama sebanyak RM35 dikenakan di KLIA2.

Saya boleh tulis lebih panjang tentang isu keburukan KLIA2 ni, tapi bukan dalam entri ni. Senang cerita, kalau anda belum pernah berlepas dari KLIA, cubalah sekali dan anda akan sedar betapa jauhnya kualiti di antara dua lapangan terbang ini.

2. Harga Lebih Kurang Sama

Dari segi marketing, AirAsia telah berjaya membuatkan majoriti penggunanya fikir dan percaya mereka murah tapi sebenarnya nilai yang dijimatkan tu taklah seberapa pun.

Untuk itu, anda kena buat perbandingan sendiri sebelum booking tiket di kedua-dua syarikat penerbangan ini. Kalau beza antara dua penerbangan pada waktu yang sama, kuota bagasi yang sama dan kurang daripada 200, belum tentu sebenarnya anda betul-betul berjimat.

Itu belum lagi cerita kalau anda terbang dengan keluarga dan perlu bayar untuk pilih tempat duduk bersebelahan walaupun check in bersama. Ini tak berlaku di Malindo kerana mereka akan beri tempat duduk sebaris dengan ahli keluarga lain kalau check in bersama tanpa diminta.

Tiket murah pada AirAsia ni hanyalah semasa final call sale ataupun free tiket untuk penerbangan jam enam pagi atau penerbangan terakhir yang anda sampai ke destinasi pada waktu malam.

3. Tempat Duduk Dengan Ruang Kaki Yang Lebih Panjang

Untuk mengetahui samada tempat duduk dalam kapal terbang selesa atau tidak, anda hanya perlu ambil tahu seat pitch atau jarak antara dua barisan kerusi. Bagi AirAsia, seat pitch hanyalah sebanyak 29 inci berbanding Malindo Air 31 inci. Dua inci ni adalah perbezaan besar yang ketara terutamanya kalau kapal terbang penuh dan waktu penerbangan anda melebihi sejam.

Ini bukanlah entri berbayar daripada Malindo sebaliknya sekadar review saya tentang syarikat penerbangan ini. Malindo Air adalah pilihan yang lebih bagus sekiranya harga tiket tak jauh beza berbandin AirAsia.

Bagus sebenarnya ada banyak pilihan sebab syarikat-syarikat ini akan bersaing sesama sendiri dengan memberikan lebih nilai bagi menambat hati pelanggan. Saya tak mahu kalau tiada pilihan langsung atau pasaran dimonopoli oleh satu syarikat sahaja kerana ini hanya akan mendatangkan kerugian kepada pelanggan.

3 Comments

  • hayati

    19 November, 2018 at 10:58 am

    Yer, saya setuju Malindo lagi selesa berbanding AirAsia, tapi sejak Lion Jet terhempas baru baru ini, ramai kalangan kawan saya yang takut hendak naik Malindo dan mereka memilih penerbangan lain…kata mereka Malindo dibawah syarikat Lion Group…hmmm

    Reply
    • Ariff

      19 November, 2018 at 1:00 pm

      Yang terhempas tu sebab pengeluar kapal terbang tak bagi maklumat cukup untuk melatih juruterbang. Bukan sebab kapal terbang tak maintain atau masalah pilot yang tak berpengalaman.

      Tapi takpe. Tak ramai naik bagus sebab tiket murah dan flight tak penuh

      Reply

Leave a Reply