Trend Pembelian Rumah Pasca Covid-19

Eco Grandeur Puncak Alam antara kawasan kejiranan baru yang hot
waktu ini

Satu perubahan besar akibat daripada covid-19 ialah majoriti syarikat dan perniagaan membenarkan pekerja mereka untuk bekerja dari rumah. Sebelum covid-19, hanya syarikat besar dan syarikat multinasional yang mengamalkan budaya kerja sebegini. Trend ini dijangka akan berterusan pasca covid-19 di mana ia memberi kelebihan kepada syarikat untuk mengurangkan kos dari segi penyediaan premis selain daripada peningkatan fleksibiliti untuk beroperasi di mana-mana sahaja.

Perubahan trend bekerja ini secara tidak langsung akan mengubah cara orang ramai hidup termasuklah dalam hal pemilihan rumah untuk kediaman sendiri. Di bawah ini adalah jangkaan saya untuk trend pasaran hartanah bagi 10 tahun yang akan datang.

Rumah Dengan Minimum Empat Bilik

Rumah lebih banyak bilik akan menjadi pilihan utama kerana budaya work from home akan menggalakkan orang ramai untuk menyediakan pejabat sendiri di rumah. Kebanyakan keluarga sekarang yang mempunyai dua orang anak akan memilih layout sebegini di mana setiap anak memiliki bilik sendiri dan satu bilik lagi dijadikan home office.

Bila cakap tentang empat bilik bersaiz normal, saya tak maksudkan layout bilik 3+1 di mana satu bilik tu paling kecil tanpa tingkap untuk maid.

Rumah Landed Menjadi Pilihan Utama

Disebabkan lebih banyak masa diluangkan di rumah, maka rumah yang dipilih mestilah mempunyai ruang yang cukup untuk semua ahli keluarga supaya selesa. Oleh sebab itu, rumah jenis landed akan jadi pilihan utama kerana saiznya yang lebih besar berbanding rumah pangsa.

Kawasan Kediaman Dengan Taman Awam

Sebelum covid-19, orang ramai tak sedar keperluan taman dan jarang pergi ke taman tapi sejak pandemik bermula, hakikat ini telah berubah. Taman awam sudah menjadi keperluan utama sekarang dan bukan setakat itu, saiz taman yang besar menjadi akan menjadi kayu ukur utama.

Kalau ada taman tapi kecil, bilangan pengunjung yang sangat ramai akan menyebabkan kesesakan seperti yang kita boleh nampak berlaku sekarang di taman-taman bandaran utama sekitar Lembah Klang.

Jarak Dari Pusat Bandar Tidak Lagi Menjadi Faktor Utama

Kalau dulu faktor jarak dari pusat bandar sering dijadikan kayu ukuran utama untuk memilih lokasi rumah, kali ini tidak lagi sebab rata-rata pekerjaan sekarang lebih fleksibel; tak perlu berada di pejabat jam 8-9 pagi dan hanya perlu ke pejabat untuk urusan tertentu sahaja.

Kawasan perbandaran baru yang mempunyai akses lebuhraya mencukupi ke pusat bandar akan lebih menjadi keutamaan berbanding kawasan yang sangat berdekatan dengan bandar.

Saiz Kawasan Kejiranan Yang Besar

Projek perumahan yang dipilih pula samada berada dalam kawasan kejiranan baru (new township) yang besar atau berdekatan dengannya kerana potensi pembangunan lain pada masa hadapan memberikan potensi kenaikan harga hartanah di kawasan tersebut. Kawasan kejiranan baru yang besar mempunyai penduduk yang ramai mampu menampung pembangunan dan aktiviti komersil di kawasan tersebut sekaligus menggalakkan lebih banyak kemudahan awam seperti sekolah dibina dengan lebih cepat.

Dalam entri seterusnya saya akan highlightkan beberapa kawasan kejiranan baru yang menepati ciri-ciri yang saya nyatakan di atas. Sekadar penafian, penulisan saya di blog ini hanyalah berdasarkan pemerhatian saya sendiri dan apa-apa keputusan yang anda lakukan seharusnya tidak boleh bergantung kepada penulisan di blog ini semata-mata. Untung rugi sendiri tanggung.

By Ariff

Blogger yang juga seorang engineer atau engineer yang juga seorang blogger. Graduan Universiti Penerbangan Moscow, Russia. Bukan Russian spy.

Leave a Reply