Pengalaman Audit Meja LHDN

Sesi audit meja saya berlangsung pada hari Isnin di blok 10 cawangan Jalan Duta. Baru saya tahu pejabat LHDN kat sini memang besar dan bukan satu blok bangunan sahaja di mana kebanyakan orang pergi ke kaunter bayaran. Blok 10 nampak macam baru renovate, mungkin disebabkan blok ini menempatkan beberapa bahagian lain seperti unit khas untuk selebriti dan ahli politik. Sesi bersama pegawai LHDN tak lama dan sebenarnya boleh je emelkan dokumen tersebut. Selepas dokumen saya diteliti, ada beberapa dokumen lagi yang diperlukan dan saya diberikan masa sehari untuk menyerahkannya.

Beberapa jam selepas saya meninggalkan pejabat LHDN, pegawai tersebut menghubungi saya.

“Encik ada pendapatan komisen kan?”

“Ye, ada”

“Tapi untuk 2016 & 2017 encik tak laporkan pendapatan ni. Untuk itu, Borang B 2016 pun saya kena semak semula”

Sudah. Macam mana pulak boleh tak masukkan? Asalnya audit meja dari tahun 2017, sekarang dah kena untuk 2016 sekali. Risau jugak sebab kalau katanya pendapaan komisen agen tak lapor untuk 2016, memang kena banyak sebab tahun sebelumnya saya buat sales banyak. Cukai termasuk 45% penalti boleh mencecah lima angka..

Balik rumah terus buka balik semua rekod dan terjumpa perbualan whatsap saya dengan isteri pada Julai 2017 semasa saya pergi ke LHDN. Nasib baik. Rupa-rupanya tahun tu salah isi borang B sebab borang CP58 lambat dapat daripada syarikat insuran. Jadi saya terpaksa pergi ke LHDN cawangan Duta untuk betulkan borang B yang dah dihantar dan bayar cukai yang tak cukup.

Hari berikutnya, pagi-pagi lagi dah call pegawai tersebut. Setelah diterangkan yang borang B telah dibetulkan dan bayaran dah dibuat, baru dia jumpa rekod pembetulan tersebut. Saya serahkan juga beberapa dokumen tambahan yang diminta melalui emel.

Setakat ini untuk kes saya tiada apa yang belum diselesaikan dan kalau ada apa-apa terkurang, LHDN akan berhubung melalui surat.

Kepada yang membaca, jangan ambil mudah berkaitan cukai ye. Pastikan borang diisi dengan betul dan rekod disimpan dengan baik. Kalau ada salah, betulkan cepat-cepat daripada buat tak tahu je sebab bila ada amaun yang perlu dibayar selepas sesi audit macam ni, penalti 45% akan dikenakan tanpa kompromi.