Kemaskini Terbaru Polisi Insurans Hayat / Sijil Takaful Keluarga berkaitan Pelaburan

Bagi mereka yang memiliki pelan Insurans / Takaful jenis ILP (investment linked plan) iaitu pelan berkaitan pelaburan, anda hendaklah memastikan polisi/sijil yang anda bayar  cukup untuk melindungi anda sepanjang tempoh polisi/sijil berkuatkuasa.

Kalau belum ada pelan Insurans/Takaful, bacaan ini juga berguna untuk anda bagi memahami sedikit sebanyak tentang pelan berkaitan pelaburan (ILP). 

Secara asasnya, insurans/takaful jenis ILP mempunyai struktur yang berbeza berbanding dengan pelan perlindungan yang lain di mana sebahagian daripada premium/sumbangan anda selepas ditolak kos dan perbelanjaan akan dilaburkan ke dalam dana pelaburan yang anda pilih.

Bergantung kepada syarikat Insurans dan pengendali Takaful, anda mempunyai beberapa pilihan dana berdasarkan tahap risiko yang sesuai dengan objektif pelaburan anda. Setiap pilihan dana ini menawarkan potensi pulangan berbeza. Sebagai contoh, dana dalam bentuk ekuiti adalah lebih berisiko tinggi tetapi mempunyai prospek pulangan yang cerah berbanding dengan pelaburan dalam sekuriti atau bon yang berpendapatan tetap. 

Di samping itu, pelan insurans dan Takaful jenis ILP ini merupakan pilihan untuk anda melakukan simpanan secara paksaan (forced savings) dan sangat sesuai untuk mereka yang selalunya menghabiskan gaji sebelum sempat menyimpan wang. Dengan itu juga, perlindungan yang diberi oleh polisi/sijil dan juga fleksibiliti dalam memilih polisi/sijil yang bersesuaian dengan situasi kewangan anda juga merupakan salah satu faktor insurans/takaful jenis ILP menjadi pilihan yang menarik untuk para pengguna.

Anda juga mempunyai fleksibiliti untuk menukar dana. Tetapi harus ingat, anda harus memahami risiko pelaburan yang anda pilih. Sehubungan dengan itu, nilai dana atau fund value bukanlah tetap tetapi bergantung kepada prestasi dana anda. Segala perubahan nilai dana anda boleh memberi kesan kepada polisi/sijil perlindungan anda. Sebagai contoh, jika prestasi dana anda tidak memberangsangkan, ia mungkin menyebabkan perlindungan anda tidak boleh bertahan sepanjang tempoh polisi berkuatkuasa.

Selain itu, tidak membayar premium insurans/sumbangan Takaful sebelum tarikh akhir pembayaran,  membuat separa caruman dan tidak meningkatkan premium insurans/sumbangan apabila kos perlindungan meningkat juga adalah sebahagian daripada faktor-faktor yang menyebabkan nilai dana menyusut. Justeru itu, anda perlu menambah premium insurans/sumbangan anda atau mengurangkan perlindungan insurans/takaful anda untuk mengekalkan polisi/sijil anda agar bertahan sepanjang tempoh polisi/sijil berkuatkuasa. 

Bermula Julai 2019, beberapa perubahan baru yang dikuatkuasakan oleh Bank Negara akan dapat dilihat dalam pelan ILP kesemua syarikat Insurans dan pengendali Takaful. 

Objektif perubahan ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk melindungi pengguna dalam memastikan pelan ILP mencapai objektif utama iaitu mampu untuk memberikan perlindungan kepada pemilik polisi/sijil sepanjang tempoh polisi/sijil berkuatkuasa.

Antara perubahan yang bakal dilihat adalah seperti berikut:

Tempoh Perlindungan Dalam Penyata Tahunan

Bermula 1 Januari 2020, pemegang polisi/sijil akan dapat melihat maklumat tempoh perlindungan dalam penyata tahunan mereka berdasarkan nilai tunai yang ada dalam akaun pelaburan dan kadar caruman semasa. 

Kadar Caruman Yang Mencukupi Sepanjang Tempoh Perlindungan

Mulai 1 Julai 2019, semua syarikat insurans/pengendali takaful perlu menyebut harga jumlah penuh bayaran premium/sumbangan yang perlu dibayar sehingga akhir kontrak. Dengan ini, polisi yang dikeluarkan hendaklah bersesuaian dengan kemampuan dan kehendak pemegang polisi/sijil. 

Untuk polisi/sijil yang dijual sebelum 1 Julai 2019 juga, syarikat-syarikat insurans dan pengendali takaful diwajibkan untuk memberi notis pre-lapse terhadap pengguna  jika polisi mereka bakal luput dalam masa 12 bulan yang akan datang.

Pengguna juga akan menerima ilustrasi yang jelas berkaitan manfaat, risiko dan maklumat bagaimana caruman anda dibelanjakan sebelum melanggan mana-mana pelan ILP. Sila lihat contoh seperti di bawah. 

Contoh ilustrasi produk ILP
Contoh ilustrasi produk ILP dalam Takaful

Anggaran Pulangan Pelaburan Yang Lebih Konservatif

Peraturan baru juga mewajibkan syarikat Insurans dan pengendali Takaful menggunakan anggaran pulangan tahunan yang lebih konservatif untuk mengelakkan pengguna meletakkan jangkaan yang tidak sepatutnya terhadap potensi pulangan pelaburan untuk pelan ILP mereka.

Kadar yang lebih realistik ini lebih mencerminkan keadaan sebenar dan mengelakkan pengguna daripada mengambil pelan ILP semata-mata untuk mendapatkan potensi pulangan pelaburan yang lumayan. 

Semoga dengan pengenalan peraturan baru ini pengguna dapat membuat keputusan yang lebih bijak tentang pilihan pelan perlindungan mereka. Bukan semua produk kewangan sesuai dengan semua individu kerana setiap orang mempunyai matlamat kewangan yang berbeza. 

Leave a Reply