The Datai, Langkawi

Baru pulang daripada road trip selama 6 malam ke Langkawi dan saya sempat menginap di The Datai selama beberapa malam. Ini review saya berkenaan resort lima bintang dari kaca mata seorang penulis blog personal finance.

The Datai termasuk dalam senarai The Leading Hotels of the World sebaris dengan lebih 400 buah hotel mewah dari 80 negara di seluruh dunia. Senang cerita, hotel dalam senarai ini bukan sahaja mewah malah terdapat keunikan tersendiri berbanding hotel lain di lokasi yang sama dengan kualiti yang terjamin sebagai hotel yang terkemuka. Selain The Datai, The RuMa Hotel berdekatan KLCC adalah sebuah lagi hotel yang termasuk dalam senarai ini di Malaysia.

Disebabkan PKP dan sekatan perjalanan antarabangsa akibat covid-19, resort bertaraf lima bintang ini menawarkan pakej khas untuk rakyat Malaysia yang ingin menginap di sana. Boleh check out sendiri laman web mereka.

The Datai Rainforest Villa

Saya menginap di Rainforest Villa selama 4 hari 3 malam. Villa dilengkapi dengan super-king bed, side bed untuk anak, balkoni rimba menghadap anak sungai dan bilik mandi berasingan lengkap dengan bathtub. Cukup selesa walaupun dengan dua anak kecil.

The Datai terletak di Teluk Datai dan dibina dengan visi mengekalkan ciri asal muka bumi di sini. Bangunan utama resort terletak 40 meter dari aras laut, 300 meter dari tepi pantai dan villa dibina di sekeliling lereng bukit sehingga ke tepi pantai. Agak pelik untuk sebuah resort dibina jauh dari tepi pantai tetapi itulah visi yang dipertahankan oleh arkitek Kerry Hill oleh kerana ingin memelihara hutan hujan di lokasi resort ini. Resort ini telah beroperasi lebih daripada 25 tahun dan baru sahaja dilengkapi semula dengan perabot baru beberapa tahun lepas.

Birdwatching awal pagi

Disebabkan jarak antara bangunan utama (lobby, beach club, villa, restoren) agak jauh antara satu sama lain, perkhidmatan buggy on demand disediakan untuk pengunjung 24/7. Malam memang gelap dan tak digalakkan jalan kaki takut terserempak dengan binatang atau penghuni hutan lain.

Perkhidmatan dan kemudahan terbaik di resort lima bintang adalah perkara biasa yang semua pengendali hotel boleh berikan tapi untuk menjadi sebuah resort yang outstanding dalam kategori ini, ia mestilah mempunyai ciri unik yang tidak dimiliki oleh hotel lain. Untuk The Datai, selain daripada pantai teluk yang tenang, kelebihan lokasi yang terletak di lembah hutan hujan dan aliran anak sungai ditengahnya menyajikan pengunjung resort ini dengan kekayaan flora dan fauna dan pemandangan indah kehijauan hutan yang menyegarkan. Banyak aktiviti dan pengisian bertemakan alam semulajadi disajikan kepada pengunjung menjadikan percutian tepi pantai di sini lebih menarik.

Saya sempat join aktiviti penanaman semula terumbu karang bersama penyelidik dari Pusat Penyelidikan Perikanan Pulau Pinang yang dijemput oleh The Datai untuk membantu mereka memindahkan populasi terumbu karang yang hampir musnah dari Pulau Anak Datai ke persisiran pantai mereka. Very educational. Untuk anak, bolehlah bawa mereka ke Nature Centre untuk mengetahui dengan lebih mendalam lagi tentang flora dan fauna di kawasan ini.

Aktiviti memenatkan anak

Walaupun lokasinya ditengah hutan dan boleh nampak hidupan liar seperti babi hutan, musang & monyet berkeliaran dalam kawasan hotel, boleh kata tak pernah sekali pun saya digigit nyamuk atau perasan ada nyamuk pun di sekeliling kami ketika berada di luar villa. Mungkin disebabkan lokasinya di tepi pantai yang menyebabkan kawasan ini tidak sesuai untuk menjadi habitat nyamuk.

Kalau hari-hari macam ni kan best

Sepanjang penginapan kami di The Datai, tak pernah sekali pun keluar sebab resort ni memang terletak lauh dari apa-apa lokasi atau kemudahan lain di Langkawi. Lagipun, duduk dalam hotel ni pun tak bosan. Anak-anak dah cukup happy main tepi pantai, kalau panas pindah ke swimming pool. Untuk aktiviti pantai, boleh pinjam bermacam jenis peralatan tanpa sebarang caj dikenakan.

Kami sempat berkayak ke Pulau Anak Datai yang dikelilingi oleh terumbu karang dan habitat ikan. Satu pengalaman yang tak dapat dilupakan berkayak satu family di bawah panas matahari sampai sunburn. Satu je saya nak bagitau untuk mereka yang tak pernah berkayak ialah, jangan sangka pulau yang nampak dekat tu sekejap je nak berkayuh untuk sampai. Jenuh jugak sebab nak lawan arus.

Pulau Anak Datai sebelah kanan tu.

Bab makan-makan, faham sendirilah makan kat resort lima bintang macam mana, yang pasti memang tak mengecewakan. Bagi peminat masakan Thai, restoren Pavillion wajib makan di restoren Pavillion. Kids eat free. Disebabkan covid, breakfast buffet kurang meriah daripada biasa. Saya faham, mereka pun tak boleh nak offer terlalu banyak pilihan sebab bilangan pengunjung yang terhad dan sebab pengunjung tak ramai inilah yang lagi seronok sebab tak sesak. Lebih suka duduk hotel dengan bilangan pengunjung yang tak ramai sangat macam sekarang.

Sebagai seorang yang memang banyak berkira-kira perihal bajet dan perbelanjaan ni, adakah penginapan saya di The Datai berbaloi? Sebelum saya jawab, saya senaraikan faktor yang mempengaruhi keputusan saya:

  • Sebagai pemilik perniagaan, percutian ini menyumbang kepada content untuk media sosial kami.
  • Dengan keadaan semasa, berkemungkinan besar tak akan travel ke luar negara sekurang-kurangnya setahun dari sekarang. Jadi bolehlah belanja lebih sikit untuk bercuti dalam negara.
  • The Datai sebagai salah satu ahli Leading Hotel of the World dah cukup untuk menunjukkan bahawa keunikan dan konsep hotel ini diiktiraf di peringkat antarabangsa. Dengan low season sekarang, servis memang terbaik.

Jadi ya, trip kami ke The Datai memang berbaloi. Kalau anda merancang untuk bercuti dan ada bajet untuk berbelanja lebih sedikit, memang takkan menyesal kalau menginap di sini terutamanya untuk young family/couple.

Leave a Reply