Renew Insurans Kereta – Market Value vs Agreed Value

Ramai orang renew kereta awal tahun termasuk saya. Sebabnya adalah masa beli dulu, hujung tahun/awal tahun dapat diskaun lebih sikit untuk kereta stok tahun sebelumnya.

Ada orang tak suka beli kereta stok lama macam ni sebab katanya rugi market value. Betul, cuma kereta memang akan jatuh value pun (tak kisah beli bila) dan diskaun masa pembelian adalah penjimatan yang kita dapat sekarang. Rugi market value tu masa nak jual nanti, itupun kalau juallah.

Berbalik pada insurans kereta, majoriti daripada kita sebenarnya beli polisi insurans yang lindungi nilai kenderaan kita berdasarkan market value. Betullah masa buat quotation ada sentuh pasah sum insured, tapi kalau tak diberitahu pasal term agreed value, memang polisi anda tu adalah berdasarkan market value.

Apa bezanya? Besar.

Bila polisi insurans adalah berdasarkan market value, pampasan total lost (contoh: total loss, kereta accident dan tak boleh repair langsung / kereta kena curi) adalah berdasarkan nilai semasa kenderaan tersebut. Nilai semasa akan ditentukan oleh PIAM dan biasanya kurang daripada sum insured masa anda renew insurans dulu.

Masalah akan timbul bila balance loan yang ada lebih tinggi berbanding jumlah pampasan yang diterima menyebabkan anda terpaksa top up dengan duit sendiri untuk tutup loan berkenaan. Jumlah terpaksa top up ni boleh mencecah ribuan ringgit lebih-lebih lagi bagi mereka yang ambil loan 90% dengan loan period panjang seperti 9 tahun.

Kalau polisi anda berdasarkan agreed value, anda akan dapat nilai pampasan berdasarkan sum insured yang ditetapkan dahulu untuk kes total loss dan kecurian. No questions asked. Nama pun agreed value, nilai tu dah dipersetujui oleh syarikat insurans dan anda.

Ringkasnya,

  1. Polisi bukan agreed value – kenderaan total loss/kena curi – pampasan berdasarkan market value – baki loan lebih tinggi berbanding pampasan – bayar beribu ringgit untuk tutup loan lama
  2. Polisi agreed value – kenderaan total loss/kena curi – pampasan berdasarkan agreed value – pampasan sama atau lebih tinggi berbanding baki loan – tak perlu top up / dapat lebihan pampasan selepas tolak baki loan

Bagi yang bayar deposit 10% masa beli kereta dan tarik loan sampai 9 tahun tu, sangat-sangat digalakkan untuk ambil insurans kereta yang lindungi nilai kenderaan anda berdasarkan agreed value. Confirm baki loan anda lebih tinggi berbanding market value kereta. Pastikan anda tanya agen yang buatkan polisi insurans anda samada polisi mereka berdasarkan market value ataupun agreed value.

Polisi insurans kenderaan berdasarkan agreed value lebih mahal dalam RM100-200 berbanding polisi biasa bergantung pada syarikat insurans. Nilai ni berbaloi kalau nak dibandingkan dengan potensi ribuan ringgit yang terpaksa dikeluarkan untuk tutup loan bila berlaku total loss/kecurian. Tu belum cerita deposit untuk beli kereta baru.

Macam mana nak tahu samada anda perlu polisi dengan agreed value atau tidak?

  1. Semak baki loan kereta. Pergi bank tanya, atau boleh semak melalui online banking.
  2. Semak anggaran nilai semasa kenderaan anda. Guna kalkulator ni.
  3. Kalau market value kenderaan anda lebih rendah berbanding baki loan, carilah insurans yang cover agreed value.

Saya tak nak beli insurans kenderaan mahal-mahal, macam mana?

  1. Jangan beli kereta. Naik motosikal atau public transport. Pertimbangkan untuk tinggal berdekatan tempat kerja/pengangkutan awam supaya tak perlu beli kereta.
  2. Beli kereta murah. Pertimbangkan kereta second hand.
  3. Jangan maksimakan pembiayaan. Ambil loan paling sikit pada tenure yang paling pendek. Digalakkan sekurang-kurangnya 20% downpayment dan tempoh maksimum 5 tahun.
  4. Bandingkan quotation daripada beberapa syarikat berbeza dengan coverage dan sum insured yang sama. Harga takkan sama.
  5. Ambil manfaat asas sahaja. Tak perlu ambil winshield coverage kalau anda bukan jenis yang pandu laju dan bukan kereta sukan (sport car)

Harap entri ni dapat bantu anda memilih insurans kereta yang betul. Kes kena top up untuk tutup loan memang banyak berlaku, jadi jangan abaikan risiko ni.

Baca juga tentang liberalisasi insurans motor yang saya tulis sebelum ni, atau tentang VW Tiguan (the best SUV) yang saya pernah review untuk beberapa hari.

3 Comments