Bila CEO Bagi Nasihat Tentang Pelaburan Hartanah

nasihat ceo pelaburan hartanah

Terjumpa nasihat ni yang ditujukan kepada belia yang nak beli rumah daripada seorang CEO hebat di Facebook. Sebagai seorang yang dah banyak share tentang pelaburan hartanah, ini komen saya tentang nasihatnya.

Biarlah kita menyewa bilik sekarang janji dapat bina istana akan datang, dari beli rumah teres sekarang dan kena bayar selama 30 tahun (itupun kalau masih mampu bayar).

Betul. Bagi mereka yang ikut konsep rumah pertama dibeli untuk pelaburan dan disewakan, memang terpaksa menyewalah kalau bukan tinggal dengan family. Tapi tau tak betapa besar potensinya walaupun dengan hanya satu rumah pelaburan? Nah. Saya tunjukkan.

Katakan rumah pertama dibeli pada harga RM120,000. Instalment bulanan RM500. Sewa pada kadar RM700. Jadi positive cashflow RM200 sebulan.

Anda hidup dalam kemampuan gaji sendiri. Sewa / makan / pakai semua cukup. Jadi RM200 tu simpan bulat-bulat.

Lepas lima tahun, simpanan daripada lebihan sewa ada RM12,000. Harga hartanah yang sama dah mencecah RM200,000 (tak mustahil, banyak dah hartanah yang dah naik pada kadar ini, malah lebih lagi). Anda jual dengan keuntungan RM80,000. Tambah simpanan lain, katakan ada RM20,000 lagi, boleh kumpulkan dalam RM120,000 untuk pembelian rumah sendiri.

Kalau rumah untuk tinggal sendiri yang nak dibeli tu harganya RM400,000, dah ada 30% deposit daripada hartanah tersebut. Jadi nampak kan betapa besar kesannya ada hartanah sendiri dalam zaman sekarang ni?

Bayangkan kalau hartanah pelaburan ni ada 2-3 unit lagi. Kalau macam tu keadaannya, rasanya mustahil tak nak beli rumah secara tunai? Itu sebenarnya yang dah lama disedari oleh majoriti pelabur hartanah.

Keperluan asas manusia seperti makanan, tempat tinggal, ubat-ubatan, pendidikan dan lain-lain lagi haruslah tidak dijadikan satu produk untuk meraih keuntungan.

Saya rasa pakaian pun keperluan asas. Mungkin CEO ni terlupa.

Kita hidup dalam sistem kapitalis di mana apa sahaja boleh dijadikan produk untuk meraih keuntungan, termasuklah pakaian yang fungsi utamanya adalah untuk menutup aurat.

Beza antara keperluan dan kehendak adalah harus dapat dibezakan secara jelas.

Betul. Dalam pengurusan kewangan, ini paling penting. Saya rasa tak perlu olah lebih panjang.

Rumah/tempat perlindungan adalah satu keperluan kepada sesebuah keluarga, mahupun keluarga miskin atau kaya.

Betul.

Kebanyakkan harga rumah menjadi berlipat kali ganda mahal adalah disebabkan beli dan jual semula rumah oleh ‘real estate investor’ untuk meraih keuntungan dan bukanya dijadikan rumah itu untuk didiami.

Cuba jawab ni. Kalau anda jual baju tapi baju tu sampai sudah tak laku, apa yang anda akan lakukan pada stok baju tersebut? Kalau saya tanya CEO, saya yakin antara jawapannya adalah, jual pada harga yang murah.

Sama juga halnya dalam hartanah. Kalau takde orang beli, harga akan diturunkan. Tapi hartanah ni istimewa sikit, kalau takde orang beli pun kadang-kadang takpe. Boleh simpan dan disewakan. Dalam hal baju tadi, stok yang tak terjual dah boleh dianggap kerugian.

Adakah harga akan menjadi berlipat kali ganda disebabkan beli dan jual semula ni?

Tidak. Tapi nak jawab ni senang je, kena tau kenapa orang sanggup beli hartanah pada sekian harga. Orang takkan beli pada harga yang lebih mahal kalau mereka tak nampak nilai.

Sama macam jual baju la. Kalau jual mahal, mesti material bagus, kain sejuk, warna cantik. Kalau tak orang tak beli. Harga mesti berbaloi dengan barang.

Dalam hartanah kalau pelabur nampak pembangunan yang bakal siap 3-4 tahun lagi akan menjadikan kawasan tersebut selesa untuk diduduki atau menyediakan peluang pekerjaan, takde masalah untuk mereka melabur pada kawasan tersebut.

‘Ripple effect’ dari sifat tamak ‘real estate investor’ ini menyebabkan jurang besar antara golongan kaya dan golongan miskin. Yang kaya makin kaya dan yang miskin makin miskin dan langsung berkemungkinan menjadikan mereka ini tidak berumah/homeless.

Kurang faham apa yang cuba disampaikan ni. Jurang antara kaya dan miskin di negara ni dah lama wujud. Real estate investor berapa kerat je dalam Malaysia ni.

Yang kaya memang biasanya akan jadi makin kaya sebab mereka berusaha keras nak lindungi dan kembangkan kekayaan mereka. Yang miskin.. kena berusaha lebih keras. Saya rasa semua orang diberi peluang yang sama/ada keistimewaan sendiri. Allah mahal adil.

Tugas sebenar ‘developer perumahan’ adalah untuk membina rumah dan menjualnya dengan harga mampu milik kepada masyarakat kerana rumah merupakan keperluan asas manusia bukanya kehendak manusia. Tetapi, developer perumahan berlumba-lumba menjadi real estate investors dengan menjual rumah dengan harga yang begitu mahal agar yang kaya mampu beli dan menjualnya kembali dengan harga berkali ganda mengikut kononya ‘harga market’ yang dicipta oleh puak-puak mereka sendiri. Yang miskin juga yang teraniaya.

Syarikat pemaju adalah entiti perniagaan dan seperti semua entiti perniagaan, tujuan utama mereka adalah untuk meraih keuntungan dalam perniagaan mereka.

Perihal mampu milik ni di bawah tanggungjawab kerajaan untuk menetapkan dasar yang melindungi golongan yang tak berkemampuan memiliki rumah. Contoh kerajaan boleh buat undang-undang untuk mengutip cukai lebih banyak daripada syarikat pemaju dan kutipan cukai tu digunakan untuk membina rumah mampu milik.

 Ya, anda boleh kaya-raya dengan melabur dengan real estate, dan jangan lupa yang anda juga mampu menyebabkan ramai lagi menjadi miskin tidak berumah.

Kena faham secara menyeluruh kenapa harga hartanah naik.

Juga kena faham, dalam apa sahaja keadaan, pasti akan ada yang ‘tertinggal’. Contoh, masa kat sekolah dulu. Dalam kelas ada yang dapat no.1 ada yang dapat paling akhir walaupun cikgunya sama. Yang membezakan keputusan adalah individu tu sendiri.

Sama juga macam perniagaan. Perniagaan yang berjaya mengatasi pesaingnya adalah yang mempunyai kelebihan tersendiri. CEO pun tahu kan. Bukan semua perniagaan maju dan pemiliknya jadi jutawan macam CEO.

Dalam masyarakat kita, ada yang berjaya, dapat kerja bagus, keluarga besar, rumah besar. Ada yang tercicir, hidup susah, takde rumah. Semua tu pada nasib/usaha/rezeki masing-masing. Semuanya bergantung pada diri kita. Semua orang ada 24 jam sehari dan 7 hari seminggu untuk mengatur hidup mereka.

Jadi kalau nak cakap orang tiba-tiba jadi miskin tak berumah sebab aktiviti pelaburan hartanah tu adalah langsung tak boleh diterima akal.

Industri real estate adalah permainan orang kaya untuk menjadi kaya tanpa memikirkan kesusahan orang disekeliling mereka.

Industri fesyen adalah permainan orang fesyen untuk menjadi kaya tanpa memikirkan kesusahan orang disekeliling mereka yang terikut-ikut dengan fesyen ciptaan mereka.

Kecuali anda melakukan investment real estate dengan menjual ‘kehendak’ masyarakat seperti shoplot kedai atau rumah-rumah agam mewah.

Pelaburan hartanah ni merangkumi apa sahaja jenis harta atas tanah seperti rumah, pejabat, kedai dan lain-lain.

Jangan sesekali meraih keuntungan atas kesusahan orang lain.

Betul.

Kepada orang muda, saya nak cakap ni je:

  1. Belajar dan save duit. Banyak kaedah pelaburan di luar sana, boleh pilih mana yang bersesuaian dengan jiwa. Yang penting, anda mempunyai simpanan yang cukup. Masalah anak muda sekarang, ramai yang takde simpanan, belanja macam anak orang kaya lepas tu bermimpi nak beli rumah secara tunai.
  2. Beza antara keperluan dan kehendak adalah harus dapat dibezakan secara jelas. Fesyen bukan keperluan. Tak mati pun kalau tak ikut fesyen terkini tapi haram kalau mendedahkan aurat. Kurangkan membeli pakaian sampai almari tak muat, lebihkan simpanan.
  3. Kalau jumpa peluang keemasan untuk melabur, contoh, hartanah yang dijual pada harga 50% bawah harga pasaran dan boleh disewakan pada pulangan yang tinggi, anda adalah orang yang kurang cerdik kalau tak sambar peluang tersebut sekiranya berkemampuan hanya semata-mata kerana anda nak ikut cakap orang lain jangan buat itu/ini.
  4. Masalah orang lain miskin dan tiada rumah bukan masalah anda. Saya yakin CEO ini pun tak fikir masalah orang yang gaji kecil tak berduit tapi masih sanggup ikat perut untuk berbelanja di butiknya hanya sekadar nak ikut trend fesyen yang mereka cipta sendiri. Ada dia kisah? Tak. Yang penting sales jalan.
  5. Dan yang terakhir saya nak cakap, nak dengar nasihat pasal hartanah bukan daripada lelaki yang perniagaan utamanya fesyen muslimah. Ramai dah orang muda yang gaji tak sampai RM3k dah berjaya memiliki lebih daripada satu hartanah. Kebanyakan yang berjaya ni anak muda orang biasa, yang takde harta tapi berusaha keras untuk kumpul harta. Dengar kisah mereka.

Secara peribadi, saya malas nak respon pada isu ni, cuma bila dia sentuh pasal pelaburan hartanah yang dah terang-terang ubah nasib saya dan ramai orang muda yang lain, saya rasa terpanggil untuk cuba membetulkan mentaliti anak muda yang terikut dengan nasihat yang kurang tepat tu.

Apapun, terpulanglah kepada anak muda yang membaca entri ini atau blog saya secara amnya. Perkongsian saya berdasarkan pengalaman sendiri dan rakan. Saya berikan pendapat tentang isu semasa dalam pelaburan hartanah sebab memang saya minat. Anda bebas nak ikut nasihat sesiapa pun. Saya hanya orang biasa yang menulis dalam blog, bukan CEO atau jutawan.

Kalau rasa apa yang saya tulis berguna, kongsikan kepada yang lain.

Nota: Tentang riba, saya nasihatkan baca je tulisan Tuan Suzardi Maulan tentang riba dalam pembiayaan Islam. Beliau adalah seorang penasihat kewangan Islam yang bertauliah.

Blogger yang juga seorang engineer atau engineer yang juga seorang blogger. Graduan Universiti Penerbangan Moscow, Russia. Bukan Russian spy.

20 Comments

  • Fatin

    29 January, 2016 at 8:48 pm

    Kesimpulan yang ringkas dan padat. Sekarang ramai sangat Gen Y yang tak kisah shopping baju berfesyen walau pun harga jauh lebih mahal. Simpan lah duit gaji tu untuk pelaburan daripada spend untuk shopping setiap bulan

  • Taufik Mansor

    7 January, 2016 at 5:31 am

    Sekadar perkongsian, 4 cara lain utk simpanan hari tua/long term savings selain pencen, kwsp dan simpanan di bank:

    1. pelaburan hartanah seperti rumah dan tanah serta binatang ternakan.
    2. Loan asb.
    3. simpanan dlm medical card/takaful.
    4. simpanan jongkong atau syiling emas 24karat.

    #emaskalisinflasi #tips #longtermsavings #simpananharitua #simpanan

  • permohonan upu

    28 December, 2015 at 3:47 pm

    semalam dan pagi ini tak berhenti membaca benda tu kat fb ceo tu dan fb lagi seorang.. banyak perbaincangan yang ilmiah boleh didapati..dan saya yang langsung tak ada ilmu pasal financing ni bolehlah cedok sikit ilmu dari threads tu.

  • aqmalfaiz

    28 December, 2015 at 2:17 pm

    Teruk lagi syarikat gergasi yang mencipta smartphone dengan pelbagai fungsi canggih, berharga beribu-ribu.

    Ia menyebabkan ramai dikalangan orang bergaji kecil, membeli phone tersebut, yang cuma guna untuk call dan whatasapp je. Duit terbazir tersebut patut guna beli keperluan asas je.

    paling teruk, lepas 2-3 tahun, phone ribu-ribu tu dah takde harga.

    itupun kalau tahan 2-3 tahun. hehehhe

  • OhPanduan

    28 December, 2015 at 11:53 am

    Betul tu. Jika kita buat pelaburan yang baik. Tak susah nak beli rumah pertama. Kena berjimat cermat sikit. Insyallah ada rezeki beli rumah satu dulu. Kena pandai menyimpan.

  • eyriqazz

    27 December, 2015 at 4:31 pm

    Tepuk dada, tanya selera..Instrument pelaburan hartanah sekarang pun sudah ada islamic loan yang bebas daripada riba..Tidak semua pelabur hartanah adalah flipper yang mencari keuntungan dalam tempoh yang singkat..

  • ujang9897

    27 December, 2015 at 11:45 am

    hahahahha…, kalau kita tidak mahir dlm sesuatu bidang., jgn sibuk bg idea atau pertikai idea dr yg pakar dlm sesuatu bidang.,

    CEO Jakel tak pernah sibuk2 pun idea CEO Ioi proprty ?

  • Klezcar

    27 December, 2015 at 4:06 am

    Well said..betul apa yang dikatakan dan apa yang ceo ni cakap hanyalah surface layer sahaja. Kesimpulannya,dapatkanlah nasihat daripada orang yang dalam bidangnya sendiri

  • Azlan Ismail

    27 December, 2015 at 2:35 am

    Perkongsian macam ni saya suka kongsikan semula dgn kawan2. Tapi biasalah orang muda yg biasa, buat tak endah je. Selagi tak tengok result kawan dia, dia tak ikut. Sudahnya saya kongsikan je dgn kawan2 yg sama matlamat atau yg sedang berusaha memperbaiki hidup.

    Hidup kan ada pilihan. Tersalah pilih, itu salah sendiri.